07 January 2009

Laporan Program KHEMAH IBADAH MUSIM CUTI SEKOLAH 2008


Pada 21 Disember 2008 sehingga 25 Disember 2008, bertempat di Universiti Teknologi Petronas, Rakan Masjid UTP telah menganjurkan program Khemah Ibadah Musim Cuti Sekolah 2008. Bertemakan ”Ke Arah Melahirkan Anak Soleh”,program ini dianjurkan dengan matlamat memantapkan anak-anak terhadap asas-asas ajaran Islam.

Program khemah ibadah ini merupakan program yang julung-julung kali diadakan di Universiti Teknologi PETRONAS dengan penglibatan seramai 57 orang mahasiswa UTP selaku ahli jawatan kuasa dan fasilitator. Penglibatan secara langsung keseluruhan Majlis Tertinggi dan Majlis Eksekutif Rakan Masjid dalam program ini telah menyuntik semangat juang yang tinggi di kalangan komiti yang rata-ratanya merupakan pelajar tahun asas.

Pada peringkat awal, program ini hanya mensasarkan kepada 300 peserta di sekitar negeri Perak sahaja. Namun sambutan yang menggalakkan daripada peserta yang berada dalam lingkungan umur 10 tahun sehingga 15 tahun telah menyebabkan kaunter pendaftaran ditutup dua minggu lebih awal dan jumlah keseluruhan yang menyertai program ini ialah seramai 320 orang. Walaupun promosi program ini lebih tertumpu kepada negeri Perak, namun ia tetap mampu menarik peserta dari luar Perak seperti Selangor, Kelantan dan Johor sekaligus menjadikan program ini bertaraf nasional.

Program selama lima hari ini diisi dengan pelbagai aktiviti yang merangkumi kerohanian, fizikal dan minda dalam mencapai objektif melahirkan anak-anak yang soleh. Peserta telah dibahagikan kepada lima platun iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan Muawiyyah bersempena nama khalifah Islam.

Setiap hari sepanjang khemah ibadah ini membawakan tema yang berbeza iaitu Cinta Allah, Cinta Rasul, Cinta Ibubapa dan Cinta Al-Quran yang telah diterapkan dalam setiap tazkirah subuh. Qiamullail yang diadakan di tempat letak kereta semasa program ini juga telah memberi pendedahan baru kepada peserta bahawa solat itu boleh dilakukan dimana jua kita berada walaupun di luar masjid. Qiamullail di kendalikan oleh saudara Hakim selaku ketua fasilitator merangkap Presiden Rakan Masjid.

Dalam mencapai objektif program ini, kuliah-kuliah tips solat, tips anak soleh dan kelas tajwid telah diadakan. LDK susulan selepas kuliah diadakan untuk memantapkan lagi pemahaman peserta melalui modul-modul dan praktikal. Manakala sesi bengkel memberikan peluang kepada peserta untuk meneroka dunia ICT di makmal komputer dan juga lawatan ke IRC UTP. Selain itu juga, pada sesi bengkel yang lain para peserta diberi peluang untuk memantapkan lagi hafazan surah-surah lazim dan surah Toha.

Pada malamnya turut diisi dengan pelbagai aktiviti yang menarik seperti tayangan animasi Muhammad Utusan Terakhir dan Malam Kesenian Islam yang menampilkan kreativiti peserta dalam persembahan nasyid. Kemuncak pada program ini ialah pada malam muhasabah ibu ayah ” Hari-hari yang Terindah”. Malam muhasabah yang dikendalikan oleh saudara Hakim dengan bantuan tayangan video dan gimik kematian berjaya menyentuh hati peserta. Peserta telah diminta untuk menulis surat kepada ibu bapa sebagai tanda keazaman untuk berubah menjadi anak yang soleh.

Pada hari terakhir, para peserta menjalani aktiviti Kembara Mencari Ilmu di sekitar akademik kompleks yang menguji minda dan fizikal para peserta. Kemudian, bertempat di ”Multi Purpose Hall”, para peserta membuat resolusi dan membacakan ikrar mereka sambil disaksikan oleh para fasilitator. Majlis penutup diakhiri dengan slot ceramah motivasi oleh Cikgu Hassan dan ditutup dengan rasminya oleh Tuan Haji Jamri, Pengarah JAIP.


Semoga program Khemah Ibadah ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. Pihak komiti merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Pihak Pengurusan Universiti Teknologi PETRONAS, barisan penaja dan seluruh pihak yang terlibat dalam menjayakan Khemah Ibadah ini.

Disediakan oleh
NURULAIN BT GHAZALI
SETIAUSAHA KHEMAH IBADAH 08

No comments: